Hukum Upah & Badal Haji
Haji merupakan rukun Islam yang kelima dan wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang mukallaf setidak-tidaknya sekali seumur hidup. Namun, pelaksanaan ibadat ini bergantung juga kepada kemampuan individu untuk mengerjakannya.
Sebab itu jugalah, apabila seseorang individu itu tidak mampu untuk melakukannya sewaktu hidup disebabkan oleh kekangan seperti kewangan atau keuzuran yang dibenarkan dari sudut syarak, ia wajib disempurnakan dengan upah haji atau badal haji.
Maksud Upah Haji
Upah haji atau badal haji ialah ibadat haji yang dilaksanakan oleh seseorang individu bagi pihak individu lain yang terhalang daripada melakukan ibadat tersebut disebabkan oleh beberapa halangan menurut syarak.
Hukum Upah Haji
Terdapat beberapa hadis yang menyokong upah haji ini untuk dilaksanakan seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dan Ibni ‘Asakir yang bermaksud,
“Barangsiapa yang mengerjakan haji bagi kedua ibubapanya selepas wafat mereka, maka disuratkan oleh Allah baginya kelepasan dari neraka dan orang yang dihajikan baginya pahala satu haji yang sempurna dan tiada kurang pahala dari keduanya sedikitpun”.
Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibnu Abbas yang bermaksud,
“Seorang perempuan daripada puak Juhainah telah datang menemui Rasulullah S.A.W. dan berkata: Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk mengerjakan ibadat haji, tetapi tidak sempat menunaikannya sebelum dia meninggal dunia, adakah aku boleh mengerjakan ibadat haji itu bagi pihaknya? Rasulullah S.A.W. bersabda: Ya, tunaikanlah ibadat haji itu bagi pihaknya. Apakah pandanganmu jika ibumu mempunyai hutang, sudah tentu kamu akan melangsaikan hutang tersebut (bagi pihaknya). Langsaikanlah hutang (dari segi ibadat) kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah adalah lebih patut untuk kamu langsaikan.”
Pendapat Ulama
Menurut Imam Al-Kamal bin Al-Hummam, beliau telah menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa jika permasalahan ini dipandang dari sudut qias, ibadat haji sebenarnya tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa pun.
Hal ini kerana ia melibatkan aspek fizikal dan juga material. Namun, syarak telah memberikan banyak kelonggaran atau rukhsah di dalam permasalahan ini. Tujuannya adalah untuk membolehkan individu yang tidak berkemampuan untuk melakukannya sendiri, menanggung beban (masyaqqah) yang lain.
Masyaqqah yang dimaksudkan adalah dengan mengeluarkan perbelanjaan kepada individu lain atau waris yang perlu mengeluarkan perbelanjaan tersebut supaya ibadat haji ini dapat ditunaikan bagi pihak dirinya.
Apapun, ia masih lagi bergantung kepada beberapa jenis syarat yang perlu dipatuhi.
Hukum Menerima Upah Haji
Untuk pengetahuan anda, upah haji atau badal haji boleh dilaksanakan di dalam dua keadaan seperti berikut:
a. Dilakukan secara sukarela oleh pelaksana
b. Dilakukan secara upah oleh individu yang tidak berupaya atau waris
Mengambil upah untuk melakukan upah haji atau badal haji ini dikenali sebagai ijarah. Berdasarkan kesepakatan para ulama, ia diharuskan oleh syarak dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk dilaksanakan.
Namun, upah yang diberikan haruslah memenuhi beberapa syarat-syarat sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam konsep ijarah seperti apa yang terkandung di dalam bab fiqh muamalat.
Kesepakatan para ulama di dalam bab keharusan menerima upah bagi melakukan sesuatu ibadat ini diqiaskan kepada keharusan menerima upah bagi mereka yang mengajar al-Quran.
Hal ini bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud,
“Sesungguhnya sebaik-sebaik upah yang kamu terima ialah daripada (mengajar) kitab Allah (al-Quran).”
Ditambah pula dengan pendapat daripada Imam al-Juwaini dan Imam al-Ghazali yang mengatakan bahawa upah ini boleh dikutip oleh pelaksana atau diberikan kepada pelaksana upah haji sebelum tiba musim haji lagi.
Namun, upah haji juga boleh dilaksanakan dengan upah atau tanpa upah. Semuanya bergantung kepada pelaksana.
Kesimpulan
Berdasarkan hadis-hadis yang telah dikongsikan, jelaslah bahawa tiada masalah untuk mewakilkan ibadat haji daripada pihak yang telah meninggal dunia sekalipun tiada wasiat atau amanah oleh pihak tersebut untuk berbuat sedemikian.
Bagi mereka yang masih hidup pula, ibadat haji ini hanya boleh dilaksanakan oleh orang lain bagi pihak dirinya sekiranya mengalami sakit yang tiada harapan untuk sembuh dan keuzuran yang dibenarkan oleh syarak sahaja.
Namun, ia lebih afdhal sekiranya waris sendiri yang mampu melaksanakan upah haji ini bagi pihak yang meninggal dunia atau keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Sekiranya tiada waris terdekat yang mampu melaksanakannya, tiada masalah untuk diwakilkan dan diberikan upah kepada orang lain untuk melaksanakannya.
Sekian sahaja perkongsian kali ini berkaitan hukum upah haji. Semoga bermanfaat!
Jika anda sedang mencari pakej upah haji terkini, sila hubungi pihak Zaytouna.
Nota Penting : Artikel ini disediakan oleh penulis persendirian. Jika terdapat fakta / pendapat yang tidak tepat, mohon hubungi pihak Zaytouna.