Syarat Upah Haji atau Badal Haji
| | |

Syarat Upah Haji atau Badal Haji

Upah haji atau badal haji ialah ibadat haji yang dilaksanakan oleh seseorang individu bagi pihak individu lain yang terhalang daripada melakukan ibadat tersebut disebabkan oleh beberapa halangan menurut syarak.

Apapun, untuk membolehkan upah haji ini dilaksanakan dengan sempurna, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Dalam perkongsian kali ini, kami akan kongsikan dengan anda syarat-syarat upah haji atau badal haji. Jom baca!

Pakej Upah Badal Haji Terbaik Di Malaysia

Syarat Upah Haji

Ada beberapa syarat-syarat yang wajib dipenuhi bagi memastikan upah haji atau badal haji ini sah dan dapat dikerjakan dengan sempurna. Syarat-syarat ini melibatkan beberapa pihak iaitu:

  • Orang yang mewakilkan
  • Pewakil / Pelaksana / Penerima Upah
  • Cara pelaksanaan

Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

1. Orang yang mewakilkan

  • Mendapatkan orang yang cukup syarat bagi mengerjakan haji untuknya atau ahli keluarganya yang telah meninggal dunia atau uzur.

  • Mewakilkan kepada individu tersebut dengan lafaz ijab dan qabul seperti:

    “Aku mewakilkan akan dikau untuk mengerjakan fardhu haji bagi diriku / ibuku / bapaku / anakku pada tahun ini kerana Allah S.W.T”.

    Dan dijawab dengan,

    “Aku terima wakil untuk mengerjakan fardhu haji bagi dirimu / ibumu / bapamu / anakmu pada tahun ini kerana Allah S.W.T”.

    Atau cukup dengan,

    “Aku terima.”
  • Mewakilkan orang lain untuk mengerjakan haji itu boleh dilakukan dengan upah yang dipersetujui oleh si penerima wakil atau secara sukarela.

  • Wakil penerima hendaklah mengeluarkan kenyataan terima seperti Surat Akad atau Resit Terima Wang.

2. Pewakil / Pelaksana / Penerima Upah

  • Pelaksana wajib telah mengerjakan haji bagi dirinya sendiri dengan sempurna

  • Hanya boleh melaksanakan upah haji ini bagi seorang individu sahaja pada satu musim

  • Pelaksana mestilah berihram di miqat individu yang diwakilinya atau pada tempat yang mempunyai jarak yang sama dengan miqat itu. Jika ditentukan kepadanya suatu miqat itu, hendaklah ia berihram pada miqat yang ditentukan tersebut.

    Jika tidak ditentukan di mana-mana miqat, maka harus bagi pelaksana untuk berihram pada miqat yang dilaluinya. Bagi pelaksana yang berada di Mekah, wajiblah ia keluar ke miqat individu yang diwakilinya atau pada mana-mana miqat yang lebih hampir kepada jarak tersebut.

    Jika pelaksana bermiqat pada tempat yang tidak memenuhi syarat yang dinyatakan sebelum ini, maka berdosa dan wajib dikenakan dam. Qaul ini ditentukan oleh Syeikh Ibni Hajar dan Ramli.

    Berbeza pula dengan pendapat Jamal Attabari di mana ia adalah diharuskan untuk bermiqat di Mekah dan tiada dam dikenakan atau dikurangkan upahnya.

  • Perlulah melaksanakan badal umrah individu yang diwakilinya sekali kerana upah haji atau badal haji tidak lengkap jika tidak disertakan bersama-sama dengan umrahnya sekali sama ada berniat dengan Haji Ifrad atau Tamattu’ kecuali Haji Qiran.

    Hal ini kerana dikhuatiri pelaksana tidak melakukan umrah untuk mengiringi upah haji tersebut disebabkan oleh isu upah yang terlalu rendah. Oleh itu, bagi mengelakkan hal ini daripada berlaku, para pelaksana perlu untuk mengambil kira pelaksanaan umrahnya sekali sewaktu menentukan kadar bayaran yang dimasukkan ke dalam akad.

3. Cara pelaksanaan

Cara niat dan rukun yang terlibat di dalam upah haji atau badal haji ini adalah sama sahaja dengan apa yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji untuk dirinya sendiri seperti berikut:

  1. Niat
    1. Niat yang dilakukan oleh pelaksana haruslah seperti berikut:

      “Sahaja aku berniat menunaikan haji / umrah untuk gantian (ibuku / bapaku / anakku / tanggunganku / nama individu yang diwakili) dan berihram dengannya kerana Allah S.W.T”.

  2. Menyempurnakan kesemua rukun haji
    1. Berwukuf di Arafah
    2. Bermalam di Muzdalifah
    3. Bermalam di Mina
    4. Melontar Jamrah
    5. Bercukur / bergunting
    6. Tawaf
    7. Sa’ie

  3. Menjaga pantang larang dalam ihram

    Sepanjang berada di dalam ihram, pelaksana haruslah dengan ikhlas menjaga diri daripada melakukan sebarang perkara yang dilarang sewaktu berada di dalam ihram.

    Jika ada perkara yang dilanggar, maka wajiblah untuk pelaksana menyempurnakan dam yang telah ditetapkan.

Kesimpulan

Para ulama sebulat suara dan bersepakat dalam menentukan bahawa upah haji ini boleh dilaksanakan dan disempurnakan dengan mengikut syarat-syarat yang telah dikongsikan tadi.

Ia juga boleh dilaksanakan samada berserta upah atau tanpa upah. Semuanya bergantung kepada persetujuan di antara orang yang mewakilkan dan pelaksana. Apapun, pastikan pelaksana adalah orang yang bertanggungjawab dan telah sempurna haji bagi dirinya terlebih dahulu.

Sekian sahaja untuk perkongsian untuk syarat upah haji atau badal haji kali ini. Semoga bermanfaat!

Nota Penting : Artikel ini disediakan oleh penulis persendirian. Jika terdapat fakta / pendapat yang tidak tepat, mohon hubungi pihak Zaytouna.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *