badal umrah_hukum_syarat
| | |

Badal Umrah – Hukum & Syarat

Semua orang ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah mahupun haji. Namun, tidak semua yang berkesempatan untuk melakukannya. Banyak faktor yang menyebabkan ketidaksampaian ini. Antaranya ialah, ada kemungkinan ajal sampai dahulu sebelum sempat ke sana atau mereka yang mempunyai kesihatan yang tidak stabil.

Tidak semua orang beruntung dan berjaya menunaikan umrah semasa hidup atau semasa sihatnya. Namun, anda sendiri boleh lakukan ibadah ini buat mereka sebagai pengganti. Ibadah ini dikenali sebagai badal umrah.

Ia biasanya dilakukan bukan sahaja untuk mereka yang sudah meninggal malah boleh juga dilakukan untuk mereka yang sudah tua atau mereka yang mengalami keuzuran sehingga tidak memungkinkan mereka untuk ke Tanah Suci.

Badal haji dan badal umrah sebenarnya mempunyai syarat yang sama namun berbeza dari jumlah rukunnya. Jadi, dalam sharing kali ini kami akan kongsikan dengan anda berkenaan badal umrah dahulu.

Hukum Badal Umrah

Ia tidak mempunyai dalil secara langsung berkenaan badal umrah ini sebenarnya. Namun, para ulama terdahulu telah menggunakan konsep qias dimana qias yang dilakukan adalah dengan hukum badal haji. Berbeza dengan badal haji dimana ia mempunyai dalil yang jelas dari hadis Rasulullah S.A.W.

Ringkasan hadis tersebut adalah ada seorang hamba Allah ini yang menyebut bahawa dia mengerjakan haji untuk kerabatnya. Lalu, ditanya lelaki tersebut oleh Rasulullah S.A.W samada dia pernah atau tidak mengerjakan haji untuk dirinya sendiri.

Dijawab oleh orang tersebut bahawa dia belum pernah lagi mengerjakannya. Lalu disuruhnya oleh Rasulullah S.A.W untuk mengerjakan haji buat dirinya dahulu barulah melakukannya untuk kerabatnya pula.

Syarat Badal Umrah

Antara syarat-syarat melakukan badal umrah adalah:

1. Tidak sah jika anda melakukan badal umrah bagi mereka yang fizikalnya masih kuat dan tidak mempunyai keuzuran yang boleh diberikan pelepasan. Maksudnya jika orang tersebut masih berupaya untuk bergerak dan mampu untuk berangkat ke Tanah Suci, maka tidak sah jika dia mewakilkan orang lain untuk melakukan ibadah tersebut baginya.

2. Badal umrah untuk mereka yang sakit pula hanyalah untuk penyakit yang telah disahkan tidak akan sembuh seperti biasa, bagi mereka yang telah hilang keupayaan fizikal untuk melakukannya sahaja atau bagi mereka yang telah meninggal dunia.

3. Badal umrah tidak sah dilakukan bagi mereka yang tidak berkemampuan dari segi harta. Ramai yang salah faham berkenaan konsep rukun Islam kelima dimana mengerjakan haji bagi mereka yang mampu sahaja. Jika ia dari segi kewangan, anda masih tidak boleh mewakilkan ibadah anda kepada orang lain. Hanya ketidakmampuan dari segi fizikal sahaja yang dibenarkan untuk mewakilkan ibadah tersebut kepada orang lain.

4. Mereka yang mewakilkan diri untuk membadalkan umrah buat orang lain pula haruslah pernah melakukan ibadah umrah buat diri mereka sendiri terlebih dahulu. Begitu juga dengan badal haji dimana anda tidak boleh mewakilkan orang lain jika anda sendiri tidak pernah mengerjakan haji buat diri anda sendiri. Jika anda belum pernah mengerjakan ibadah tersebut buat diri anda tetapi membadalkan untuk orang lain, ibadah tersebut akan jatuh pada diri anda terlebih dahulu.

5. Wanita boleh membadalkan umrah buat lelaki dan begitu juga sebaliknya. Jadi, jika anda merupakan anak perempuan dan ingin membadalkan umrah buat ayah anda yang sudah meninggal, maka dari segi hukum syarak ia adalah sah. Begitu juga buat anak lelaki yang ingin membadalkan umrah buat ibunya yang sudah meninggal dunia.

6. Tidak boleh membadalkan umrah buat dua individu atau lebih dalam satu masa. Setiap umrah hanya boleh mewakilkan seorang sahaja.

Anda perlu berhati-hati kerana ada juga agensi yang tidak bertanggungjawab yang menawarkan pakej badal haji untuk dua atau lebih orang keatas seorang wakil dalam satu-satu masa semata-mata kerana ingin mengaut keuntungan yang lebih.

Sekian sahaja perkongsian kali ini daripada kami. Semoga perkongsian kali ini berkenaan badal umrah mampu memberikan manfaat buat anda.

Nota Penting : Artikel ini disediakan oleh penulis persendirian. Jika terdapat fakta / pendapat yang tidak tepat, mohon hubungi pihak Zaytouna.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *