Definisi Badal & Upah Haji
Seringkali kita dengar atau lihat akan pakej upah haji atau badal haji yang ditawarkan oleh agensi umrah atau haji. Malah ia juga turut ditawarkan oleh individu-individu perseorangan di luar sana. Jadi, ia bukanlah satu perkara yang agak asing bagi kita di Malaysia ini.
Cumanya, sekalipun ia merupakan perkara yang biasa, masih ramai lagi sebenarnya yang kurang faham akan maksud dan konsep sebenar upah haji atau badal haji ini. Sebelum itu, ada beberapa perkara lain berkaitan haji yang perlu kita jelas terlebih dahulu.
Jom baca perkongsian kali ini mengenai upah haji atau badal haji ini.
Kewajipan Mengerjakan Ibadat Haji
Mengerjakan haji adalah mengunjungi Kaabah untuk beribadat kepada Allah S.W.T. dengan menunaikan rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu pada waktu yang tertentu kepada umat Islam yang berkuasa menunaikannya.
Merujuk firman Allah S.W.T di dalam surah al-Imran ayat 97 yang bermaksud,
“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, maka aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”
Jelaslah kita disini bahawa mengerjakan haji adalah wajib bagi setiap Muslim. Ia juga termasuk di dalam rukun Islam yang kelima. Namun, pelaksanaan ibadah ini bergantung kepada kemampuan seseorang untuk melakukannya.
Definisi Upah Haji
Upah haji atau badal haji ialah ibadat haji yang dilaksanakan oleh seseorang individu bagi pihak individu lain yang terhalang daripada melakukan ibadat tersebut disebabkan oleh beberapa halangan menurut syarak.
Ada beberapa hadis yang sahih yang membenarkan perbuatan ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dan Ibni ‘Asakir yang bermaksud,
“Barangsiapa yang mengerjakan haji bagi kedua ibubapanya selepas wafat mereka, maka disuratkan oleh Allah baginya kelepasan dari neraka dan orang yang dihajikan baginya pahala satu haji yang sempurna dan tiada kurang pahala dari keduanya sedikitpun”.
Begitu juga seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas yang bermaksud,
“Seorang perempuan daripada puak Khath’am telah datang (menemui Rasulullah S.A.W.) dan bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibadat haji telah difardhukan oleh Allah S.W.T. ke atas hamba-hamba-Nya ketika bapaku telah berusia lanjut dan tidak mampu lagi untuk berada di atas tunggangan (untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji), adakah dia wajib menqadha’kannya dengan cara aku lakukan ibadat haji tersebut bagi pihaknya? Rasulullah S.A.W. bersabda: Ya.”
Kesimpulan
Dapatlah disimpulkan disini bahawa apabila seseorang Muslim tidak lagi mampu untuk menunaikan ibadat haji disebabkan oleh beberapa bentuk keuzuran yang diharuskan oleh syarak atau tidak berkesempatan untuk mengerjakannya sewaktu hidup, ia wajib disempurnakan secara badal haji.
Sekian sahaja perkongsian kali ini mengenai upah haji atau badal haji ini. Semoga bermanfaat.
Nota Penting : Artikel ini disediakan oleh penulis persendirian. Jika terdapat fakta / pendapat yang tidak tepat, mohon hubungi pihak Zaytouna.